~~JOM CLICK~~

Rabu, 10 November 2010

Exora Elektrik- 1 Gelen Petrol 219 km


Proton membuktikan kereta Malaysia juga berkualiti dan mampu bersaing diperingkat antarabangsa.  Berikut adalah petikan daripada akhbar Utusan Malaysia.

Exora buktikan Proton mampu bersaing

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kejayaan model Exora memenangi pertandingan Brighton to London Future Challenge pada Sabtu lalu membuktikan Proton Holdings Bhd. (Proton) mampu bersaing dengan syarikat gergasi dunia dalam teknologi kereta hibrid yang menggunakan enjin petroleum dan elektrik secara serentak.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Exora mendapat tempat pertama dalam kategori kereta elektrik yang ditingkatkan jarak perjalanannya berikutan mencatat penggunaan satu gelen petrol untuk 219 kilometer.

''Kereta syarikat lain yang mendapat tempat kedua hanya mampu mencatat jarak 100 kilometer bagi satu gelen iaitu kurang separuh daripada kebolehan Exora untuk menjimatkan minyak.
''Keputusan pertandingan ini jelas menunjukkan yang teknologi Proton jauh lebih baik daripada teknologi lain-lain jenama,'' katanya dalam entri terbaru bertajuk Proton Dalam Era Teknologi Hijau dalam blog http://chedet.co.cc di sini hari ini.



Pertandingan yang melibatkan jarak perjalanan sejauh kira-kira 96.54 kilometer dari Brighton ke London di United Kingdom turut disertai syarikat automotif terkemuka termasuk Toyota dari Jepun, Volkswagen (Jerman) dan General Motors (Amerika Syarikat).  Kenderaan yang menyertai pertandingan itu terdiri daripada kereta yang sudah dipasarkan dan belum dipasarkan.


Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Penasihat Proton menjelaskan bahawa model Saga sepatutnya turut diumumkan sebagai pemenang dalam kategori kenderaan enjin elektrik pada pertandingan berkenaan.



''Saga elektrik juga mendapat kemenangan tetapi syarikat-syarikat lain membuat protes. Pihak Proton telah membantah protes itu,'' katanya.  Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kelebihan lain kedua-dua model Exora dan Saga yang menyertai pertandingan itu adalah ia kurang mengeluarkan asap karbon dioksida dan monoksida yang mencemarkan udara.

''Kedua-duanya juga mampu memuatkan jumlah penumpang sepenuhnya dan tempat simpanan barang juga mempunyai kapasiti biasa.  ''Hampir semua kereta lain terpaksa menggunakan tempat simpanan barang dan tempat duduk belakang untuk bateri,'' jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan